Lebih kurang 60 tahun dahulu, satu pasukan ahli fisiologi telah membuat kajian tindak balas stres kepada seekor tikus. Tikus tersebut telah dimasukkan ke dalam sebuah sangkar elektrik. Arus elektrik sangkar itu dikawal supaya tidak mematikan tikus itu dengan serta merta kerana kejutan elektrik. Sekali-sekala tikus itu dikejutkan oleh arus elektrik yang sederhana sekadar cukup untuk menimbulkan tindak balas stress. Setiap kali kejutan elektrik berlaku, tisu otot tikus itu mula rosak. Setelah beberapa hari mengalami keadaan seperti itu, maka tikus itupun mati. Melalui bedah siasat, penyelidik itu mendapati tisu-tisu otot tikus itu telah menunjukkan banyak tanda-tanda penuaan yang cepat ( sign of accelerated aging ).
Mereka membuat kesimpulan iaitu kematian tikus itu bukanlah kerana stress luaran tetapi reaksi tikus itu kepada stress yang berterusan yang menyebabkan tisu-tisu badannya tidak boleh berfungsi lagi dan akhirnya mati. Hal yang sama seperti ini boleh juga berlaku kepada manusia. Jika manusia mengalami stress yang berlebihan dan berterusan, dan tidak pula cepat dikawal, maka tisu-tisu badannya akan rosak dan akhirnya mempercepatkan proses penuaan.
Mengikut Hans Selye, ahli penyelidik yang mula-mula mencipta tindak balas stress ( the stress responses ), kebanyakan manusia meninggal dunia disebabkan oleh stress bukannya kerana penuaan. Banyak kajian telah menunjukkan sepanjang masa, sepuluh peratus tenaga sel-sel dalam badan kita sentiasa membina dan memperbaharui protein, DNA dan RNA. Apabila kita mengalami stress, kelenjar adrenal mengalirkan hormone cortisol yang berlebihan dan membinasakan berpuluh juta sel-sel otak. Apabila ini berlaku, maka proses pembinaan yang dilakukan oleh sel-sel itu terganggu dan berlakulah kerosakan tisu-tisu otak secara beransur-ansur.
Petikan daripada buku 'Tenaga dan keremajaan minda' Abdul Fatah Hasan.