Wednesday, December 24, 2008

PETIKAN AKHBAR SINAR HARIAN ( ISNIN 22 DISEMBER 2008 )

Syoknya Solat lahir anak soleh

KAMPUNG PADANG DAN – Isu gejala sosial yang tidak sihat dan kehilangan jati diri dalam kalangan remaja Muslim masa kini semakin meningkat.

Sehubungan itu, Syarikat Alusi Dinamik Sdn Bhd mengambil langkah mengadakan program yang membantu mereka bagi mengelakkan berlaku perkara negatif itu.

Pengarah program, Mohd Zaki Zainol berkata, program itu bagi menambahkan ilmu pengetahuan solat dan memupuk minat peserta melalui aktiviti mengenai rahsia solat itu.

“Peserta akan mengetahui solat dengan pelbagai perspektif kehidupan sebagai alternatif terbaik bagi membentuk remaja pada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

“Selain itu, mereka dapat melakukan rukun solat dengan baik dan betul berdasarkan syarat ditetapkan dalam Islam,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Azmi CHe Hussain merasmikan penutup program itu di sini.

Menurutnya, walaupun secara asasnya, mereka sudah mengetahui kaedah solat, namun ramai masih sekadar bersolat tetapi tidak khusyuk sewaktu mendirikannya.

Dengan mengikuti program Kem Syoknya Solat ini, katanya, peserta dapat menguasai bacaan solat dengan baik dan lancar.

Program itu, kata beliau, memberikan didikan kepada peserta mengenali solat dengan lebih mendalam bagi menjiwai dan tumpuan kepada Allah.

Beliau berkata, program itu adalah kali kedua diadakan dan kesannya begitu memuaskan kepada peserta.

“Selesai sahaja program ini, fasilitator yang tanggungjawab menjaga dan mendidik peserta akan memberikan maklum balas kepada ibu bapa.

“Dalam program ini juga, peserta mengetahui fadilat dan hikmah solat dalam membentuk sahsiah individu dari sudut kesihatan,” katanya.

Mohd Zaki berkata, solat itu mempunyai pelbagai kelebihan dan boleh mengelakkan diri daripada melakukan perkara tidak baik.

Katanya, dalam Islam, umatnya wajib mendirikan solat lima waktu sehari.

“Ia juga dapat mengetahui solat ini membantu menguatkan rohani, jasmani, mental dan emosi individu itu sendiri,” katanya.